Thursday, October 13, 2016

30. PENTINGNYA BERSABAR

Sabar merupakan sifat terpuji yang senang disebut tetapi tidak mudah untuk dilakukan oleh seseorang.  Sabar dinyatakan dalam Quran melebihi 70 kali menurut Imam Ghazali. Manakala beberapa ilmuan Islam yang lain pula menyatakan lebih daripada 90 kali. 

Sabar selalunya dikaitkan dengan kesusahan yang seseorang hadapi dan memohon sesuatu pertolongan daripada Tuhan. Allah berfirman,  "Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bersabar."

Sabar adalah peneman dan penenang pada waktu kita sedang dalam kesusahan. Apabila kita ditimpa kesusahan tentu kita akan bersedih dan apa lagi sekiranya kesusahan itu adalah berat. Namun apa hendak dikata kerana kesusahan yang berlaku bukan boleh diundur semula. Mahu atau tak mahu kita terpaksa hadapi dengan mencari jalan dan berusaha mengatasinya. Dalam tempoh itu kita harus bersabar dan perbanyakkan doa supaya kesusahan itu dapat diatasi.  



28. TETAP MENDAPAT BALASAN

Setiap perkara yang anda lakukan pasti akan dibalas oleh Allah tanpa mengira sekecil atau sebesar mana sekali pun sama ada ianya perbuatan yang baik atau jahat. Jika anda membuat baik anda akan menerima ganjaran yang baik yang berlipat ganda. Jika anda berbuat jahat maka anda tidak akan dapat lari daripada bencana yang akan menjengok anda. 

Firman Allah, 

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan-amalan baik sekalipun sebesar zarah dia pasti akan melihatnya dan menerima balasannya. Dan sesiapa yang berbuat jahat sekalipun sebesar zarah dia pasti akan melihatnya dan menerima balasannya." (Al- Zalzalah: 7-8).

27. CARA MENGELAKKAN MUSIBAH

Semua manusia akan mengalami dugaan atau ujian dan musibah termasuk anda. Anda tentu terasa pahit jika anda ditimpa musibah dan sesungguhnya kepahitan itu merupakan satu perkara yang normal. Akan tetapi jika anda bersabar dan tidak lagi bersedih serta redha dengan apa yang berlaku bererti lambat laung anda akan mendapat pula kegembiraan kerana Allah akan sentiasa bersama dengan oran-orang yang sabar. Anda boleh meminimumkan musibah jika anda dapat mengamalkan empat cara iaitu:

a) Jaga diri anda dengan Allah. Jangan buat apa yang dilarang seperti melakukan maksiat, mengumpat, memfitnah, mencuri, menzalimi, menganiayai dan hendaklah buat apa yang disuruh seperti melaksanakan rukun Islam dan rukun iman.

b) Jaga diri anda sendiri. Jaga kesihatan, banyak bersenam, mengamalkan pemakanan yang seimbang, tidur yang cukup, membaca buku dan mendengar ceramah yang berguna.

c) Jaga keluarga anda. Jangan abaikan keluarga dan sentiasa memberi perhatian kepada mereka. 

d)  Jaga masyarakat seperti jiran, kawan-kawan, anak-anak buah, orang ramai dan organisasi anda.

Jika anda mengamalkan empat cara tersebut nescaya musibah dapat diminimumkan.

26. MENCARI ALASAN MENJAYAKAN

Anda seringkali menetapkan pelbagai matlamat untuk dicapai sama ada dalam jangka pendek atau panjang. Walaupun banyak usaha yang anda lakukan bagi mencapai matlamat tersebut namun ia masih juga tidak tercapai. 

Mengapakah terjadi begitu? Antara sebab utama kenapa anda gagal adalah kerana anda sering mencari alasan untuk gagal. Contohnya anda telah menetapkan matlamat untuk menurunkan berat badan sebanyak 10kg dalam masa 3 bulan. Bagi mencapai matlamat itu anda telah memutuskan untuk berjoging 30 minit setiap hari selama tiga bulan. Setelah anda memulakan joging selama 10 hari  anda mendapati kasut anda rosak dan anda tidak lagi meneruskan joging. 

Apabila ditanya kenapa tidak lagi berjoging anda memberi jawapan bahawa kasut anda rosak. Akhirnya matlamat anda tidak tercapai. Andainya anda masih menjadikan pelbagai alasan kenapa anda gagal bermakna selama itulah anda akan gagal. Di sini, apa yang perlu anda lakukan ialah dengan merubah cara anda berfikir dan bertindak iaitu merubah sikap 'mencari alasan untuk tidak menjayakan' kepada 'mencari alasan untuk menjayakan'. Misalnya dalam contoh kasut, sepatutnya anda mencari jalan atau alasan untuk mengatasi kasut yang rosak tadi sama ada membaiki atau menggantikan dengan yang baru.

Oleh itu anda hendaklah sentiasa bertindak mencari alasan untuk menjayakan agar semua matlamat yang anda tetapkan dapat dicapai.

25. INGATAN KETIKA BERKUASA

Sewaktu anda berkuasa anda akan dikelilingi oleh orang yang begitu ramai. Pantang anda meminta tolong, berduyung-duyung akan bersedia untuk menolong anda. Pantang anda dahaga, begitu ramai yang akan menghulurkan anda air supaya anda tidak kehausan, pantang anda ingin bersukan, begitu ramai yang sudah bersiap sedia menanti anda untuk turut sama bersukan dengan anda. 

Begitulah seterusnya sikap mereka terhadap anda yang mepunyai kuasa. Anda begitu gembira kerana begitu ramai yang sanggup bersama anda. Akan tetapi anda harus sedar bahawa bukan semua mereka itu jujur dan ikhlas. 

Cuba fikirkan sejenak sikap mereka itu jika anda kehilangan kuasa, berapa ramaikah yang akan bersama anda. Jawabnya hanya berapa kerat sahaja yang sanggup bersama anda kerana kebanyakan akan hilang dan mereka mempunyai pelbagai alasan untuk menjauhi anda. Di sinilah anda boleh menilai siapa mereka itu sebenarnya iaitu sama ada mereka itu merupakan kawan dan sahabat. 

Oleh itu semasa anda berkuasa anda harus berhati-hatilah dengan orang yang berdampingan dengan anda agar anda tidak kecewa dengan sikap mereka nanti apabila anda sudah tidak berkuasa lagi.

24. BERALAH DAN BEKORBAN

Pergolakan dalam sesebuah keluarga pasti berlaku sekali sekala walaupun anda berhasrat mahu menjadikan keluarga anda sentiasa bahagia. Pergolakan sekali sekala merupakan perkara yang lumrah tetapi jika pergolakan yang berpanjangan, ia merupakan perkara yang luar biasa dan tidak baik lantas jika tidak ditangani dengan bijaksana mungkin ia akan berakhir dengan kehancuran. 

Anda pasti tidak mahu keluarga yang dibina sekian lama itu hancur dalam sekelip mata akibat pergolakan yang berterusan. Oleh itu seandainya anda merupakan seorang bapa kepada keluarga anda, pastikan anda melakukan sesuatu usaha dan tindakan yang bijak seperti bertolak ansur, pengorbanan, beralah atas dasar kebaikan, tidak berdendam, mesra, memimpin, menjaga hati dan tidak ego. 

Walaupun anda berkorban dan beralah kepada anak-anak anda bukan bererti anda kehilangan status anda sebagai seorang bapa kerana status anda sebagai seorang bapa tetap tidak berubah seperti kata pepatah 'ular menyusur akar takkan hilang bisanya'. Justeru itu anda hendaklah melakukan sesuatu yang baik walaupun terpaksa beralah dan berkorban demi untuk kebahagiaan keluarga anda.

23. MENCARI KEDAMAIAN HATI

Kedamaian hati itu penting. Hati yang tidak damai boleh menyebabkan hidup anda menjadi gelisah dan sentiasa berdukacita. Kedamaian berada dalam diri anda. Untuk mencari kedamaian bukanlah suatu perkara yang susah. Apa yang anda perlu lakukan ialah sentiasa merapatkan diri anda dengan Allah. 

Jika anda amalkan perkara ini misalnya anda sentiasa berjemaah di masjid, berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis, membuat kebajikan, sentiasa menderma dan sebagainya, pasti hidup anda menjadi lebih damai. Akan tetapi jika anda merapatkan diri anda dengan manusia seperti dengan mereka yang berpangkat, kerkedudukan tinggi, orang kaya atau orang ternama maka kedamaian yang anda perolehi hanya sementara sahaja kerana ia tidak boleh bertahan lebih lama akibat sifat anda yang suka bergantung atau takut pada manusia. 

Oleh itu sentiasalah merapatkan diri anda dengan Allah nescaya anda akan dapat memperolehi kedamaian hati.

22. RAHSIA TUHAN

Anda mungkin diuji dengan cara  yang ringan atau sangat berat.

Antara ujian yang ringan seperti demam, sakit gigi atau sukar untuk tidur. Ujian yang sangat berat adalah seperti kematian anak atau cedera parah dalam suatu kemalangan atau kecelakaan.

Seorang teman saya dari Indonesia, Dr Adi Sujatno mengalami kesedihan yang sangat berat akibat pemergian dua orang anak kesayangannya baut selama-lamanya dalam tempoh dua tahun.

Semasa beliau dalam kesedihan saya telah menelefonnya untuk menyampaikan ucapan takziah. Beliau memberitahu saya bahawa beliau dan isterinya menerima kenyataan tersebut dengan penuh pasrah, redha dan tenang.

Apa yang sangat saya kagumi ialah beliau mengatakan apa yang telah berlaku ke atas diri dan keluarganya mengandungi hikmah dan sesungguhnya ia adalah rahsia Tuhan.

Wednesday, October 12, 2016

19. WANG DAN NAFSU

Laki-laki sering menghabiskan wang yang banyak untuk mendapatkan perempuan kerana mahu memenuhi nafsu mereka. Manakala perempuan pula sanggup merelakan laki-laki memuaskan nafsu terhadap dirinya kerana mahukan wang yang banyak. Ini bermakna, orang lelaki menggunakan wang untuk mendapatkan perempuan dan orang perempuan pula menggunakan nafsu untuk mendapatkan wang. Kenyataan di atas adalah benar sekiranya anda merupakan orang-orang yang tidak beriman dan bertaqwa. Bagi orang-orang yang kuat iman dan bertaqwa, situasi seperti itu mungkin tidak berlaku. Orang-orang yang beriman dan bertaqwa ialah mereka yang sentiasa meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan mengamalkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah. Mereka yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa mendapat kerahmatan dan keberkatan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Oleh itu anda hendaklah mengawal wang dan nafsu dengan cara menambahkan tahap keimanan dan ketaqwaan pada setiap masa. 

Monday, October 10, 2016

18. JANGAN MEMALUKAN ORANG LAIN

Perkara yang perlu anda ingat dan elakkan ialah jangan membuat sesuatu perkara yang boleh memalukan seseorang tidak kira sama ada orang itu merupakan anak anda, isteri anda, keluarga anda, anak buah anda atau ketua anda. Oleh itu, jika anda ingin menjaga hubungan yang baik dan mesra dengan orang lain anda hendaklah memastikan setiap langkah dan tindakan yang anda laksanakan tidak akan memberi kesan yang boleh memalukan seseorang.

Rasulullah bersabda:
“Jangan buka aib orang kerana Allah akan membuka aibmu walaupun di dalam rumahmu sendiri”

Thursday, October 6, 2016

17. KARENAH ANAK-ANAK

Bagi anda yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak semestinya anda akan berdepan dengan karenah anak-anak. Ada yang nakal ada yang tidak nakal; ada yang rajin ada yang malas; ada yang pendiam ada yang peramah; dan ada yang tenang ada yang cepat marah. Karenah yang pelbagai inilah yang menghidupkan suasana dan kemeriahan kehidupan sesebuah keluarga. Anda perlu hadapi mereka walau apa sekali pun karenah yang mereka lakukan. 

Kejayaan anda membentuk mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat menjadikan anda lebih dihormati dan disegani oleh anak-anak anda. Anda tentu mempunyai pelbagai cara tersendiri untuk mendidik anak-anak anda untuk menjadikan mereka berjaya. Apa cara sekali pun tidaklah menjadi persoalan kerana yang penting ialah biarlah anak-anak anda mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

16. BAIK ITU HIBURAN

Mungkin ramai di antara kita termasuk anda malas atau berat untuk membuat sesuatu perkara yang baik seperti membaca buku, bersenam, beramal ibadat, menjalankan tugas dan tanggungjawab, membuat kebajikan, mengamalkan pemakanan seimbang, mengemas rumah dan membantu orang susah. Sejak di bangku sekolah lagi anda diajar dan digalakkan supaya mengamalkan perkara tersebut tetapi anda masih juga tidak dapat melakukan dengan sepenuh hati. 

Salah satu sebab utama ialah kerana anda menganggap ia merupakan satu bebanan kepada anda. Apabila sesuatu perkara itu dianggap sebagai bebanan bererti semakin berat bebanan itu semakin penat pula yang akan anda tanggung. Akhirnya anda akan menjadi letih dan malas.

Cara yang terbaik untuk mengatasi masalah itu ialah dengan merubah tanggapan anda. Anggaplah bebanan itu sebagai satu hiburan. Apabila anda menganggapnya sebagai hiburan bererti semakin banyak anda lakukan semakin banyak keseronokan yang akan anda perolehi. Contohnya apabila anda meminati permainan boling kerana ia sangat menghiburkan anda. Katakan anda bermain boling bermula pada pukul 8.30 malam dan pada masa anda masih lagi bersemangat untuk bermain tiba-tiba waktu sudah pun berlalu empat jam iaitu sudah pukul 12.30 tengah malam. Di sini anda akan berkata pada diri anda kenapa masa begitu cepat berlalu dan anda terasa bahawa anda baru sahaja memulakan permainan itu.

Justeru itu anda harus merubahkan tanggapan anda ke atas sesuatu perkara yang baik iaitu dengan menganggap bahawa ia sebagai hiburan bukannya bebanan bagi memastikan anda menjadi seronok dan ceria dalam mengharungi kehidupan ini.

15. KITA DAN ORANG LAIN

Anda mesti berusaha supaya anda menjadi manusia yang terbaik. Anda hendaklah berfikiran positif dan sentiasa baik sangka kepada orang lain. Akan tetapi anda jangan lupa bahawa tidak semua orang lain akan bersikap sama seperti anda. Sebab itu ada syurga ada neraka kerana ada baik ada jahat. Jika anda baik, janji Allah ialah syurga dan jika anda jahat, janji Allah ialah neraka. Jika anda baik dan jahat, penimbang akan menentukan. Jika jahat lebih berat, anda akan ke neraka dan jika baik lebih berat, anda akan ke syurga. Pastinya, hanya Allah sahaja yang boleh menentukan siapa yang akan berada di syurga atau neraka. Terdapat beberapa panduan yang boleh anda gunakan apabila anda membuat sesuatu dan dalam masa yang sama anda ingatkan pada diri anda tentang orang lain.

Pertama, sentiasa berbuat kebaikan terhadap seseorang kerana ia merupakan sifat yang terpuji tetapi anda perlu ingat, bukan semua orang akan berbuat baik kepada anda.

Kedua, sentiasa memaafkan seseorang kerana ia merupakan sifat yang mulia tetapi anda harus ingat, bukan semua orang akan memaafkan anda.

Ketiga, sentiasa menolong seseorang di saat mereka memerlukan pertolongan kerana ia merupakan sifat yang disanjungi tetapi anda harus ingat, bukan semua orang akan menolong anda apabila anda ditimpa kesusahan.

Keempat, sentiasa mempunyai prasangka yang baik terhadap seseorang kerana ia merupakan sifat yang dituntut tetapi anda harus ingat, bukan semua orang mempunyai prasangka yang baik terhadap anda.

Kelima, sentiasa memenuhi janji anda kepada seseorang kerana ia merupakan sifat dikagumi tetapi anda harus ingat, bukan semua orang akan memenuhi janjinya pada anda.

Oleh itu, anda harus dan sentiasa berhati-hati dalam membuat sesuatu seperti kata pepatah, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.

14. MENDIDIK ANAK

Tunjukkanlah teladan yang baik kepada anak-anak anda kerana mereka sentiasa memerhati dan mudah untuk meniru apa yang anda lakukan. Menasihatkan anak anda supaya jangan ikut perbuatan ayah tapi ikutlah cakap ayah merupakan nasihat yang salah dalam mendidik anak-anak anda. Anak-anak anda adalah permata yang tidak terhingga nilainya meski pun mereka itu berkebolehan atau tidak. Anda akan merasakan kenikmatan yang tiada tandingnya jika pada awalnya anak anda memiliki kelemahan dari sudut sikap atau pelajaran tetapi hasil usaha anda yang bersungguh-sungguh dan contoh teladan yang baik akhirnya anak anda menjadi orang yang berjaya dalam hidupnya. Antara beberapa contoh yang boleh anda lakukan supaya dapat diteladani oleh anak-anak anda ialah:

Pertama, semasa bersama atau di depan anak-anak keluarkanlah kata-kata yang baik dan jangan sekali mengeluarkan kata-kata yang kotor, kesat, keji, jijik, kurang sopan dan lucah.

Kedua, jangan menghisap rokok di depan mereka.

Ketiga, bawa anak-anak bersolat jemaah di surau atau masjid termasuk solat Jumaat.

Keempat, sentiasa membaca buku ketika bersama anak-anak.

Kelima, tidak mengumpat dan memburukkan orang lain ketika bersembang dengan anak-anak.

Keenam, luangkan masa bersama mereka seperti bermain boling, melancong, rekreasi, mendaki gunung, berkelah dan lain-lain terutamanya pada hari minggu, cuti umum atau cuti sekolah.

Ketujuh, bangun pada awal pagi terutamanya ketika hari tidak bekerja dan elakkan bangun lambat kerana ia akan memberi peluang kepada anak anda untuk turut sama bangun lewat.

Kelapan, tegurlah anak anda yang lemah atau silap itu dengan penuh kasih sayang. Elakkan daripada dendam dan benci pada anak-anak anda.

Demikianlah beberapa teladan atau perbuatan yang boleh anda jadikan panduan dalam mendidik anak-anak bagi memastikan wujudnya hubungan yang baik dan harmoni dalam keluarga anda.

13. SUKA DUKA BAGAIKAN PUTARAN JAM

Suka duka; dan susah senang adalah asam garam dalam kehidupan. Keadaan ini berlaku bukan sahaja kepada indvidu tetapi juga kepada keluarga, organisasi, masyarakat dan negara. Suatu ketika dulu semasa pemerintahan Maharaja Meiji negara Jepun merupakan negara yang maju. Selepas itu ia terlibat dengan Perang Dunia Kedua menyebabkan ia menghadapi kedukaan yang berat iaitu ratusan ribu penduduknya mati di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 akibat pihak tentera Bersekutu yang diketuai oleh Amerika menggugurkan bom atom di kedua-dua bandar tersebut. Selepas itu ia bangkit semula sehingga menjadi negara yang sangat maju dan makmur. Kemudian pada 11 Mac 2011 ia menjadi muram lagi akibat berlakunya gempa bumi, tsunami dan kebocoran loji nuklear sehingga mengorbankan ribuan nyawa, kerugian harta benda dianggar 70 billion USD, kehilangan tempat tinggal, kekurangan makanan, ancaman bahan radiasi dan kejatuhan ekonomi.

Anda boleh lihat jam yang sifatnya berputar dan mempunyai 12 angka di mana terdapat 6 angka genap dan 6 angka ganjil. Andaikan angka genap itu merupakan zon kesenangan dan angka ganjil pula adalah zon kesusahan. Katakan hari ini anda berada pada pukul 2, bererti anda berada dalam zon kesenangan. Di sini anda jangan lupa bahawa tidak lama lagi jam itu akan beralih pula ke pukul 3 yang menunjukkan anda akan berada pada zon kesusahan. Begitulah seterusnya putaran jam berlaku sehinggalah sampai masa ia mati akibat kehabisan bateri.

Jika jam yang mati, anda boleh gantikan bateri yang baru dan ia dapatlah berfungsi kembali tetapi sekiranya kita mati maka di akhiratlah nanti kita semua bertemu.

Jadi semasa anda hidup usahakanlah supaya anda boleh bersabar ketika berada dalam zon kesusahan dan hendaklah bersyukur apabila anda berada dalam zon kesenangan kerana sememangnya hidup ini bagaikan putaran jam.