Saturday, September 24, 2016

12. JIKA ANDA KECEWA

Adalah suatu perkara yang normal bahawa anda akan kecewa jika anda gagal dalam mendapatkan sesuatu walaupun ianya sedikit atau banyak; kecil atau besar; rendah atau tinggi; kurang bernilai atau sangat bernilai; dan kurang berharga atau sangat berharga. 

Adalah kurang normal jika anda akan bergembira apabila anda gagal mencapai sesuatu yang anda inginkan seperti anak anda gagal dalam peperiksaan, anda tidak berjaya mendapatkan tender, permohonan anak anda untuk masuk universiti ditolak, kegagalan dalam percintaan, putus tunang, kegagalan rumah tangga dan sebagainya. 

Sudah pasti anda perlu mengambil sedikit masa dan ruang untuk menghadapi kegagalan dan kekecewaan kerana bak kata pepatah seberat-berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Sungguh luar biasa jika setiap kekecewaan yang anda tempuhi, anda dapat mengatasinya dengan sekelip mata.

Apabila anda gagal, tanyalah diri anda sama ada anda mahu meneruskan kekecewaan atau melupakan kekecewaan. Jika anda menjawab mahu meneruskan kekecewaan bermakna anda akan menghadapi masalah yang lebih besar lagi dan akhirnya anda akan rugi bahkan anda merupakan orang yang tidak bersyukur, tidak sabar dan tidak tabah.

Akan tetapi jika anda menjawab mahu melupakan kekecewaan maka anda merupakan orang yang berfikiran positif dan sesungguhnya inilah yang dikehendaki oleh Allah swt seperti firmanNya yang bermaksud,

Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (QS. Al-Baqarah [2]: 177). 

Jadikan kegagalan itu sebagai pengajaran yang berguna dan pendorong paling bererti untuk anda memulakan langkah baru yang lebih berkesan dan amalan yang lebih baik. Oleh itu, anda hendaklah melupakan kekecewaan demi kebaikan diri anda, keluarga, organisasi dan masyarakat.

11. KEPENTINGAN BAHASA INGGERIS

Sebagai orang Islam, bahasa Arab sangatlah penting untuk anda mempelajari dan menguasainya kerana ia merupakan bahasa al Quran. Membaca  al Quran disertai dengan memahami isi kadungannya menjadikan diri anda lebih mendekatkan diri anda kepada Allah. Orang-orang yang dekat dengan Allah lazimnya akan melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang tidak baik. Selain daripada bahasa Arab, ada satu lagi bahasa yang sangat penting dan banyak faedah untuk anda pelajarinya iaitu bahasa Inggeris.   Antara faedah-faedahnya ialah:

Pertama, memudahkan berkomunikasi. Majoriti negara-negara di seluruh dunia mengakui bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling popular dan menjadi keutamaan apabila berkomunikasi.

Kedua, meningkatkan ilmu pengetahuan. Buku-buku yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris terlalu banyak. Anda boleh menimba ilmu dengan cara membaca buku-buku tersebut dengan seberapa banyak yang mungkin.

Ketiga, meluaskan pasaran. Sebarang penulisan atau buku yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris dapat dipasarkan di seluruh dunia. Ini bukan sahaja dapat menyebarkan maklumat dan idea-idea anda kepada masyarakat antarabangsa tetapi juga dapat melipatgandakan hasil jualan dan keuntungan.

Keempat, melonjakkan industri pelancongan. Kebanyakan pelancong lebih berminat untuk melancong di negara yang masyarakatnya mampu berbahasa Inggeris. Cuba anda bayangkan jika seramai 5 juta pelancong yang melawat negara anda dan katakan secara puratanya setiap pelancong berbelanja RM2,000.00. Ini bermakna negara anda akan memperolehi pendapatan hasil daripada bidang pelancongan sebanyak RM10,000,000,000.00 (10 ribu juta atau 10 billion).

Kelima, mencari pekerjaan. Anda boleh memilih negara mana yang anda ingin bekerja apabila anda dapat menguasai bahasa Inggeris. Sudah pasti majikan lebih memberi keutamaan kepada pekerjanya yang boleh berbahasa Inggeris terutamanya mereka yang berurusan dengan orang ramai.

Justeru itu, anda hendaklah mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris tidak kira sama ada anda masih bersekolah, bekerja atau bersara. Namun demikian bahasa ibunda anda jangan pula dilupakan.

10. KESAN PERUBAHAN

Sudah menjadi lumrah manusia ingin membuat perubahan. Bahkan tidak ada apa yang kekal di alam ini kecuali Allah swt. Ada kala perubahan itu dilakukan oleh manusia dan ada kalanya ia berlaku atas keizinan atau kehendak Illahi. Tiada siapa mampu menahan perubahan yang berlaku atas kehendak Tuhan Yang Maha Esa. Anda tidak dapat mengetahui apakah tujuan sebenarnya Allah mengubahkan sesuatu itu dan sesungguhnya hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Manakala perubahan yang dilakukan oleh anda biasanya mengandungi dua tujuan utama iaitu bertujuan positif atau negatif. Kita tidak perlu berbincang di sini tentang perubahan yang bertujuan negatif tetapi kita tumpukan kepada perubahan bertujuan positif. Secara umum, perubahan bertujuan positif adalah untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan diri anda, keluarga anda, organisasi anda, masyarakat anda, agama anda atau negara anda. Biasanya terdapat tiga kesan utama yang akan berlaku sekiranya anda melakukan perubahan yang bertujuan positif iaitu:

Kesan pertama, anda akan dapat mencapai tujuan itu. Hasilnya bertambah baik di mana kualiti dan kecemerlangan tercapai.

Kesan kedua, anda tidak mencapai apa-apa. Hasilnya adalah sama sahaja di mana kualiti dan kecemerlangan tetap sama sahaja seperti sebelumnya.

Kesan ketiga, anda bukan sahaja tidak mencapai matlamat tetapi situasinya menjadi semakin teruk. Hasilnya yang diperolehi menurun di mana kualiti dan kecemerlangan menjadi semakin buruk dari sebelumnya.

Jadi, sebelum anda membuat sebarang perubahan anda hendaklah berhati-hati dan perlu diteliti dari segala aspek agar setiap perubahan yang anda lakukan itu akan memberi kesan yang boleh meningkatkan kualiti dan kecemerlangan.

Friday, September 23, 2016

9. LEBIH BAIK HADAPI

Masalah menjelma tidak kira masa dan tempat. Kadang sudah diduga dan kadang tidak diduga atau sukar diduga. Ada masalah kerana anda mencari dan ada masalah yang anda tidak mencari. Masalah kerana anda mencari tidaklah menjadi masalah sangat kerana anda sendiri yang mencari. Jadi setiap impak atau kesan yang berlaku haruslah ditanggung sendiri oleh anda. Misalnya, anda tahu bahawa mengambil makanan atau minuman manis secara berlebihan boleh menyebabkan kencing manis dan jika anda terus mengambilnya maka akhirnya anda didapati menghidapi kencing manis maka anda harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Anda tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri anda sendiri.

Satu lagi masalah ialah masalah berlaku bukan kerana anda mencari tetapi ia belaku tanpa diundang. Misalnya anda cukup menjaga kesihatan anda seperti bersenam dan diet termasuk mengawal pengambilan gula tetapi anda disahkan mengidap kencing manis. Anda pasti akan terperanjat dan bersedih serta tertekan dengan pengesahan itu. Apa yang harus anda lakukan seterusnya, adakah anda mahu lari daripada kenyataan atau hadapinya dengan cara yang terbaik. Jawabnya anda perlu hadapinya dengan penuh semangat, positif dan profesional.

Jangan tambahkan lagi masalah kerana perkara yang sudah berlaku tetap tidak boleh diubahkan lagi kecuali dengan kehendak Allah. Hadapi dan terus hadapi serta uruskan masalah itu dengan sebaik mungkin. Usah anda toleh lagi ke belakang, ayuh aturkan langkah baru ke depan agar masalah lama sudah menjadi debu-debu berterbangan ke udara dan lenyap di langit biru. Banyakkan zikrullah, solat-solat sunat, puasa, sedekah dan zakat, kerja-kerja amal kebajikan dan sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang memerlukannya. Insya Allah, jika anda dapat melakukannya, anda pasti akan menjadi orang yang berjaya dan bahagia.

1. JIKA ANDA TERJATUH

Kehidupan seseorang dengan seseorang yang lain tidak sama. Adakala kita berada di atas dan adakala kita berada di bawah. Ketika di atas, jangan lupa orang di bawah. Andainya suatu hari kita terjatuh lalu berada di bawah kita harus menilai diri sendiri dahulu sebelum menyalahkan orang lain.

Cuba imbas kembali masa yang lalu mungkin kita pernah melakukan perkara yang tidak baik. Jika pernah, anggaplah kejatuhan itu merupakan satu musibah atau balasan akibat perbuatan kita yang lalu. Apa yang harus anda lakukan ialah anda hentikan dan tidak lagi mengulanginya lagi.

Akan tetapi jika kita tidak melakukan perkara yang tidak baik, kita anggap kejatuhan itu merupakan ujian daripada Allah dan ada hikmahnya. Apa yang harus anda lakukan ialah bersabar dan terus bersabar kerana berkat dengan kesabaran itu mungkin Allah akan memberi kerahmatan dan rezeki yang lebih baik daripada apa yang anda perolehi sebelumnya.

Orang lain seperti kawan, keluarga, ketua atau masyarakat tidak usah kita salahkan. Baiki diri dengan mempertingkatkan ketakwaan dan ketabahan.