Saturday, September 24, 2016

10. KESAN PERUBAHAN

Sudah menjadi lumrah manusia ingin membuat perubahan. Bahkan tidak ada apa yang kekal di alam ini kecuali Allah swt. Ada kala perubahan itu dilakukan oleh manusia dan ada kalanya ia berlaku atas keizinan atau kehendak Illahi. Tiada siapa mampu menahan perubahan yang berlaku atas kehendak Tuhan Yang Maha Esa. Anda tidak dapat mengetahui apakah tujuan sebenarnya Allah mengubahkan sesuatu itu dan sesungguhnya hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Manakala perubahan yang dilakukan oleh anda biasanya mengandungi dua tujuan utama iaitu bertujuan positif atau negatif. Kita tidak perlu berbincang di sini tentang perubahan yang bertujuan negatif tetapi kita tumpukan kepada perubahan bertujuan positif. Secara umum, perubahan bertujuan positif adalah untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan diri anda, keluarga anda, organisasi anda, masyarakat anda, agama anda atau negara anda. Biasanya terdapat tiga kesan utama yang akan berlaku sekiranya anda melakukan perubahan yang bertujuan positif iaitu:

Kesan pertama, anda akan dapat mencapai tujuan itu. Hasilnya bertambah baik di mana kualiti dan kecemerlangan tercapai.

Kesan kedua, anda tidak mencapai apa-apa. Hasilnya adalah sama sahaja di mana kualiti dan kecemerlangan tetap sama sahaja seperti sebelumnya.

Kesan ketiga, anda bukan sahaja tidak mencapai matlamat tetapi situasinya menjadi semakin teruk. Hasilnya yang diperolehi menurun di mana kualiti dan kecemerlangan menjadi semakin buruk dari sebelumnya.

Jadi, sebelum anda membuat sebarang perubahan anda hendaklah berhati-hati dan perlu diteliti dari segala aspek agar setiap perubahan yang anda lakukan itu akan memberi kesan yang boleh meningkatkan kualiti dan kecemerlangan.

No comments:

Post a Comment